5 Tip Untuk Jaga Tayar Motosikal Anda!

RAMAI penunggang mengambil berat prestasi tayar motosikal masing-masing sampai ada yang bergaduh sesama sendiri pasal tayar siapa paling power, paling bagus atau paling mencengkam jalan. Lucunya, ramai pula yang mengabaikan tayar selepas dipasang.

Tayar memerlukan penjagaan, sama seperti komponen motosikal lain. Bagaimanapun, penjagaan itu tidaklah begitu intensif atau kompleks. Di sini kami kongsikan 5 tip mudah penjagaan tayar yang boleh anda ikut.

1. RUN-IN TAYAR DENGAN CARA BETUL

ride-kapcai
ride-motor

Penjagaan tayar seharusnya bermula ketika tayar masih baharu. Cara kita ‘menggolekkan’ atau run-in tayar baharu akan mendatangkan kesan pada jangka hayat tayar tersebut (sama juga seperti cara kita run-in enjin baharu).

Cara run-in tidak susah. Kita hanya perlu berhati-hati dan tidak menunggang secara laju melulu untuk 300-500km pertama. Ini membolehkan kita menghilangkan salutan licin atas tayar. Permukaan bersinar pada tayar baharu adalah salutan untuk mengeluarkan tayar daripada acuan (mold release). Sebab itulah tayar baharu licin.

Selain itu, komponen tayar terdiri daripada campuran ratusan material yang memerlukan haba sekata supaya ia bersebati. Jika kita mengenakan haba dan daya melampau pada peringkat awal, ada kemungkinan sesetengah bahan itu dipanaskan secara tidak sekata. Ini akan menyebabkan tayar hilang prestasi apabila sampai pertengahan jangka hayat.

Inilah punca ramai penunggang merungut pasal tayar sudah kurang mencengkam. Ingat, jangan terus dilanyak tayar baharu!

2. PANTAU TEKANAN ANGIN

Checking tyre pressure
inflating motorcycle tire.flat picture profile for colour grading

Ini aspek penjagaan tayar paling kerap diabaikan.

Tekanan terlalu rendah menyebabkan tayar jadi terlalu panas dan bunga haus dengan cepat. Tambahan lagi, tayar kurang angin memaksa kita menggunakan lebih kuasa enjin kerana motosikal rasa ‘berat’. Malah, menyebabkan tambahan penggunaan petrol.

Sebaliknya, tekanan terlalu tinggi pula menyebabkan penggunaan jalur tengah tayar secara melampau. Selain itu, kita jadi tidak selesa sebab rasa tayar melantun-lantun ketika bergerak. Cengkaman pula terjejas kerana golekan tayar tidak dapat mengikut permukaan jalan.

Berapakah kadar tekanan angin yang patut diisi?

Ikut saja apa disarankan pengeluar motosikal. Ini kerana pengeluar sudah merumuskan tekanan paling baik untuk prestasi motosikal anda. Kita boleh meninggikan tekanan jika bawa pembonceng atau beban, tetapi ikut juga apa disarankan pengeluar.

Cara terbaik mengukur atau mengisi tekanan angin adalah ketika tayar masih sejuk. Sebaik-baiknya dapatkan alat pengukur tekanan angin tayar kerana pam angin di stesen petrol tidak selalunya tepat. Tekanan angin haruslah diukur setiap dua hari.

3. PERIKSA FIZIKAL TAYAR

Uneven wear
periksa-fizikal-tayar

Kita sepatutnya memeriksa keadaan fizikal tayar sebelum memulakan perjalanan. Ini membolehkan kita mengesan sebarang kerosakan, pancit atau tanda penggunaan tidak normal seperti suspensi yang tidak dilaraskan dengan betul.

4. BERSIHKAN TAYAR

Cleaning the tyre
cuci-tayar-motosikal

Kita hanya perlu bersihkan bahagian tepi tayar (sidewalls), tidak perlulah keseluruhan tayar.

Tip ini dimasukkan kerana kami hendak menyarankan anda supaya berhati-hati ketika membersihkan rantai motosikal. Penggunaan bahan pencuci seperti petrol, diesel, minyak tanah, ‘thinner’ tidak digalakkan sama sekali. Ini kerana ia bukan hanya merosakkan rantai, tetapi juga boleh merosakkan tayar.

Bahan-bahan ini akan membuat getah jadi keras dan senang merekah dan boleh buat tayar hilang cengkaman. Bersihkan saja dengan cecair pencuci yang dikhaskan untuk tayar.

5. APA NAK BUAT KALAU TAYAR PANCIT

Tyre puncture
tayar-motor-pancit

Sebenarnya, pengeluar tayar menyarankan tayar harus ditukar baharu jika terkena paku dan sebagainya yang menyebabkan pancit. Ini kerana lapisan dalaman tayar seperti jalur keluli, lapisan Kevlar, dan sebagainya yang ditembusi objek seperti paku akan membuatkan struktur tayar jadi tidak kuat.

Bagaimanapun, kami faham tidak semua kalangan kita mampu berbuat demikian. Kita biasanya akan menampal tayar yang pancit tersebut dengan kit ‘cacing’ (untuk tayar tiubles) yang dibuat daripada material getah.

kit-tayar-pancit
Cacing tayar

Sebaiknya, tayar harus ditanggalkan dan ditampal pada bahagian dalam. Ini kerana tayar mungkin akan rosak apabila dicucuk dengan kit ‘cacing’. Ya, tayar motosikal penulis sendiri pernah rosak sebab mekanik silap cucuk ‘cacing’.

Tetapi jika ‘cacing’ digunakan juga, ingatlah kaedah itu hanya penyelesaian jangka pendek. Jangan sesekali tinggalkan cacing itu selamanya. Ini kerana lubang pancit itu boleh jadi lebih besar, dan ‘cacing’ boleh tercabut. Jadi, gunalah cacing hanya untuk ke bengkel berdekatan.

Jika tayar anda jenis tiub, anda tiada pilihan lain kecuali menukar terus tiub tersebut demi keselamatan.

Itu saja tip penjagaan tayar yang perlu anda ikut. Semoga tayar anda dapat memberikan kepuasan dan keselamatan sepanjang jangka hayat ia berkhidmat buat anda.

Sumber: PLCM