Tiada Lanjutan Moratorium, Peminjam Mula Bayar Oktober Ini

PEMINJAM perlu mula membayar pinjaman bank bermula Oktober nanti kerana pihak bank tidak akan melanjutkan lagi tempoh moratorium pinjaman automatik, menurut sumber perbankan dipetik TheStar.

Bagaimanapun, sumber industri menyatakan pihak bank bersedia membantu peminjam dengan menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman yang dijangka melibatkan tiga juta orang akan menerima tawaran tersebut.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia ada menyatakan yang pihak bank bersedia membantu peminjam dalam kes tertentu dengan menawarkan pelbagai bantuan pembayaran semula seperti bayaran faedah sahaja, memanjangkan tempoh pinjaman dan pembayaran semula fleksibel.

Sumber berkata, antara alasan tiada lagi moratorium adalah kerana pihak bank mahu peminjam menghadirkan diri untuk berunding mengenai pinjaman mereka. Bank ada tempoh masa hingga pertengahan tahun depan untuk menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman peminjam.

Tempoh moratorium enam bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada lewat Mac lalu, akan berakhir pada 30 September  tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, peminjam tidak perlu membayar pinjaman mereka kepada bank yang mana wang itu boleh digunakan untuk meringankan impak ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Ia juga antara usaha Kerajaan untuk membantu isi rumah memiliki tunai di tangan untuk terus berbelanja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *